
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)/Facebook Pusat Khidmat ADUN Trong
SUNGAI KERANG, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Penduduk Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Sungai Kerang menerima bantuan barangan dapur daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong disini hari ini.
ADUN Jamilah Zakaria, berkata Pusat Khidmat ADUN Trong telah mengedarkan bantuan barangan dapur kepada golongan yang tinggal dikawasan ini berikutan ada yang terjejas akibat pandemik COVID-19 tersebut.
“Sebanyak lima puluh buah keluarga telah menerima bantuan barangan dapur daripada Pusat Khidmat ADUN Trong bagi meringankan beban mereka yang terkesan dari segi pendapatan akibat pandemik tersebut, tambahan pula majoriti penduduk yang tinggal di sini bekerja sebagai nelayan.
“Dengan bantuan daripada pihak kerajaan juga dapat meringankan beban mereka disamping penambahan bantuan tajaan daripada syarikat Baba Products (M) Sdn Bhd (BABAS) yang turut menyumbang agihan bantuan kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Jamilah (dua dari kiri) turun padang bagi menyampaikan bantuan barangan dapur kepada penduduk RPT Sungai Kerang.
Tambahnya, dia bersama sepuluh orang pekerja yang bertugas di Pusat Khidmat ADUN Trong telah turun padang bagi bersama-sama mengedarkan bantuan kepada para penerima supaya bantuan ini cepat sampai ke tangan yang berhak menerimanya.
“Kita mengharapkan bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi bagi membantu orang lain yang kehilangan sumber pendapatan harian kerana kita tidak tahu bila COVID-19 ini akan lenyap dari muka bumi ini dan saya mengharapkan ianya cepat berlalu supaya kita dapat menjalani norma kehidupan yang lama seperti biasa,” ujarnya ketika selesai membuat edaran bantuan di kawasan kediaman tersebut, di sini hari ini.
~RJ~