
Laporan/foto: Mohamad Asri Awang Ya/Nur Hafif Zainurdin (Hulu Langat)
AMPANG, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 20 penerima bakul makanan terdiri daripada tukang gunting rambut, tukang jahit, warga emas dan ibu tunggal terima manfaat bakul makanan sumbangan Jabatan Penerangan (JaPen).
Mereka ini antara golongan terjejas dan terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berikutan premis mereka ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut.
Ezat Danial Ekbal, 21, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut berkata program sumbangan bakul makanan ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban beliau dan rakan sekerja yang lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Kedai gunting rambut di sini mula beroperasi pada bulan lalu selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat.
“Semasa tempoh penutupan kedai gunting rambut ini, saya tidak bekerja dan keluarga yang banyak membantu bagi saya menjalani kehidupan seharian.
“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat bekerja semula selepas kerajaan mengumumkan pembukaan beberapa sektor ekonomi,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Bukit Indah, di sini kelmarin.
Beliau berkata mereka turut menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan sepanjang tempoh tersebut.
Fathi Rohman Ab. Aziz, 34, pengusaha kedai menjahit pakaian antara yang terkesan menyatakan rasa syukur dan merakamkan penghargaan terima kasih kerana mengadakan program bakul makanan seperti ini.
“Pandemik ini menyebabkan ramai orang terjejas terutamanya dari segi pendapatan, saya juga antara golongan yang terkesan.
“Pelbagai cabaran yang saya tempuhi sepanjang 10 tahun menjadi tukang jahit dan inilah pertama kali pendapatan saya terjejas dengan teruk terutamanya di musim perayaan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Walaupun saya menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan namun jumlah tersebut tidak memadai bagi bayaran sewa premis dan perbelanjaan yang lain,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa terharu atas inisiatif daripada Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat yang prihatin dan mengambil berat terhadap pengusaha kedai jahit seperti beliau.
-RI