
Laporan/foto: Siti Hajar Kamis (Seremban)/Unit Media Penjara Seremban
SEREMBAN, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Seremban melalui Program Info on Wheels (IOW) telah bekerjasama bersama Penjara Seremban sempena Bulan Kebangsaan ini bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan penghuni Penjara Seremban.
Pengarah Pengurusan Banduan Komisioner Penjara (KP) Ajidin Salleh berkata erti sebenar kemerdekaan adalah apabila setiap penghuni di dalam penjara ini dapat keluar dan menikmati kebebasan di dunia luar sana kelak.
“Pengertian kemerdekaan ialah kebebasan daripada dijajah, namun erti kemerdekaan disebalik tembok batu berjeriji besi ini ialah anda semua kembali merasai suasana hiruk-pikuk kota, mendengar tawa riang saudara-mara, berjumpa dengan rakan taulan dan hidup selesa di luar sana.
“Saya berharap kebebasan itu akan menjadi sebuah impian dan harapan bagi setiap penghuni di sini, dan anda akan merasai semua ini bila tiba masanya nanti,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut di Penjara Seremban, di sini semalam.
Tambah beliau, penjara ini mungkin nampak tertutup tetapi sebenarnya mereka amat berbesar hati sekiranya ada agensi dan jabatan yang ingin bekerjasama dan menganjurkan program yang boleh mendatangkan impak positif kepada kakitangan dan penghuni penjara.
“Saya amat berterima kasih dan menghargai usaha Jabatan Penerangan Negeri Sembilan amnya dan khususnya Pejabat Penerangan Daerah Seremban yang sudi mengadakan program hari ini sekali gus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan selain menggelorakan lagi semangat patriotik dalam diri semua yang terlibat,” katanya lagi.
-FF