Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Peragut Berjaya Ditahan Orang Awam

By 30 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Seorang peragut yang mempunyai 23 kes jenayah lampau berjaya ditahan apabila gagal melarikan diri selepas meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Taman Seri Gombak, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata polis menerima laporan pada pukul 8.10 pagi berhubung kes berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa merupakan seorang melayu tempatan berumur 33 tahun berada di Jalan SG 3/11, sebuah motosikal ditunggang oleh suspek satu lelaki telah meragut beg kepit milik mangsa.

“Semasa suspek cuba melarikan diri telah terlanggar sebuah kenderaan sebelum orang awam berjaya menangkap suspek dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainal, hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai 20 rekod jenayah pelbagai kesalahan dan tiga rekod berkaitan dadah.

“Pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang oleh suspek mendapati motosikal tersebut adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Kajang.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada esok (1 Oktober) pukul 9.30 pagi bagi tujuan permohonan reman.

“Kes disiasat di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan rompak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai empat belas tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat,” katanya.

Katanya, Polis Daerah Gombak mengucapkan ribuan terima kasih terhadap tindakan proaktif orang awam sehingga tertangkapnya suspek dan mengalu-alukan sebarang maklumat dalam usaha membanteras jenayah.

-RI

Tinggalkan komen anda