Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Perkhidmatan Dobi Percuma untuk Rakyat Tepoh

By 6 September 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh

KUALA NERUS, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Kira-kira 10,000 isi rumah di sini boleh menikmati perkhidmatan dobi percuma, apabila Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mula menyediakan kelengkapan mesin basuh percuma untuk kegunaan harian penduduk di situ.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim, usaha dan inisiatif ini bertujuan untuk meringankan bebanan penduduk sekitar membersihkan pakaian harian mereka menggunakan peralatan mesin basuh sepanjang mengharungi krisis air ketika ini.

“Bekalan air terputus susulan insiden paip berukuran 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu awal bulan lepas menyebabkan isi rumah tidak dapat meneruskan aktiviti seharian termasuk membasuh pakaian seperti kebiasaan.

ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berharap pembukaan perkhidmatan dobi percuma berkenaan dapat meringankan isi keluarga yang terjejas dengan bekalan air.

Hishamuddin berharap pembukaan perkhidmatan dobi percuma berkenaan dapat meringankan isi keluarga yang terjejas dengan bekalan air.

“Pihak kami menyediakan sebanyak enam unit mesin basuh dan dijangka akan sampai dua unit lagi menjadikan lapan unit mesin ini untuk digunakan oleh orang ramai pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di pusat khidmat tersebut, di sini semalam.

Tambah Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, sabun pencuci pakaian untuk kegunaan orang ramai juga disediakan secara percuma bagi memudahkan urusan membasuh pakaian seharian.

“Perkhidmatan dobi percuma berkenaan dibuka sepanjang tempoh 24 jam dan ini akan memberi kemudahan kepada individu yang bekerja di siang hari untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan pada sebelah malam,” katanya.

Sementara itu, Norhafizah Alias, 34, berkata perkhidmatan dobi percuma ini merupakan inisiatif yang tepat dengan keadaan ketika ini.

“Semua sedia maklum penduduk kini sedang menghadapi bekalan air yang terputus dan mustahil untuk menggunakan peralatan mesin basuh ketika ini di kediaman masing-masing.

Norhafizah Alias mengharapkan perkhidmatan dobi percuma yang disediakan dimanfaatkan secara berhemah.

Norhafizah Alias mengharapkan perkhidmatan dobi percuma yang disediakan dimanfaatkan secara berhemah.

“Pembukaan dobi percuma ini amat melegakan kami sekeluarga dan dapat menjimatkan masa serta tenaga kerana suri rumah tidak perlu membasuh pakaian yang banyak secara manual dengan menggunakan tangan dan kekangan ketiadaan air yang begitu lama menyebabkan urusan aktiviti harian terjejas dengan teruk dan inisiatif yang diambil ini meringankan beban,” katanya.

Sementara itu, Afizan Abdul, 50, berkata penduduk setempat bersyukur apabila pemimpin sentiasa cakna dengan situasi semasa ketika ini.

Afizan Abdul mengatakan perkhidmatan dobi dan sabun pencuci percuma dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Afizan Abdul mengatakan perkhidmatan dobi dan sabun pencuci percuma dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Lokasi perkhidmatan dobi berbayar yang sedia ada di sini agak jauh dari kediaman kami dan kewujudan tempat mendobi secara percuma ini amatlah dinanti-nantikan serta memudahkan kerja-kerja seharian.

“Perkhidmatan mencuci secara percuma ditambah pula disediakan sabun pencuci sangat membantu golongan yang kurang berkemampuan di sekitar sini,” katanya.

Tinggalkan komen anda