
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
SELAMA, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Petugas barisan hadapan yang berkhidmat di daerah ini dirai pada satu program yang diadakan bagi menghargai segala penat lelah usaha mereka membantu negara berperang menentang wabak virus sepanjang pandemik COVID-19 ini.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Selama Mustoffa Aliman, berkata lokasi bagi meraikan petugas barisan hadapan adalah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Permai dan ia sangat tepat memandangkan di sini adalah tempat bertugas beberapa petugas barisan hadapan dari pelbagai jabatan.
“Program bagi meraikan mereka ini disambut secara sederhana memandangkan ianya masih lagi tidak dapat disambut secara beramai-ramai berikutan kes COVID-19 di negara ini masih lagi tinggi.
“Seperti semua sedia maklum bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini telah beroperasi pada 2 Julai 2021 dan mendapat sambutan yang menggalakan daripada masyarakat setempat yang tinggal di sini bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui tarikh janji temu yang telah diberikan melalui aplikasi MySejahtera dan juga secara masuk terus jika tidak mendapat sebarang tarikh janji temu.
“Daerah Selama juga hampir mencapai sasaran imuniti kelompok yang telah ditetapkan dan jika tiada aral melintang, berkemungkinan besar PPV ini akan tamat beroperasi dengan lebih awal dan akan ditukarkan kepada konsep yang berlainan mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya sempena program tersebut di Dewan Serbaguna Permai, di sini hari ini.
Tambahnya, berbeza dari tahun-tahun sebelum ini sambutan Hari Kebangsaan disambut secara sederhana mengikut persekitaran norma baharu kerana negara masih berjuang mendepani pandemik COVID-19 ini.
“Antara jabatan dan agensi kerajaan barisan hadapan yang dirai adalah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, Hospital Selama, Klinik Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selama, Sukarelawan Vaksin MyVac dan beberapa agensi lain,” katanya.
~RJ~