Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

PICK Daerah Tangkak Kembali Dibuka

By 28 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/ Kartina Saruni (Tangkak)

TANGKAK, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kembali dibuka bagi daerah ini khusus untuk pelaksanaan pemberian vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Menurut Pegawai Daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali, pemberian vaksin kepada golongan remaja di daerah ini berjalan dengan lancar walaupun pada peringkat permulaan terdapat sedikit kekangan disebabkan oleh pemahaman ibu bapa dan penjaga tentang pengesahan pesetujuaan dalam memberikan suntikan kepada anak-anak mereka.

“Namun begitu, setelah diberi penjelasan ibu bapa dan penjaga berasa yakin untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.

“Program Pemberian Vaksin kepada remaja di daerah ini dijangka akan selesai pada 30 September dan pemberian vaksin suntikan dos kedua pula akan diberikan selepas tempoh 21 hari,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke PPV di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang, di sini hari ini.

Taklimat ringkas oleh petugas di PICK Remaja SMK Ledang.

Mohammed Shakib (dua dari kanan) mendengar taklimat ringkas daripada petugas PPV.

Tambah beliau, program ini memberi tumpuan kepada remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun bermula 21 September sehingga 28 September 2021 manakala bagi remaja yang tidak bersekolah dan tercicir serta remaja yang bersekolah diluar tetapi tinggal di daerah ini akan menerima suntikan vaksin bermula 28 hingga 30 September 2021.

“Seramai 13,390 penerima dijangka akan menerima dos pertama secara janji temu di aplikasi MySejahtera atau hadir secara jumpa terus.

“Sehingga hari ini seramai 8,891 orang rakyat di daerah ini bersamaan 66.9 peratus telah divaksin dan ini melebihi jangkaan 50 peratus seperti yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Shakib memaklumkan, Tangkak merupakan daerah pertama yang telah selesai menjalankan Program Pemberian Vaksin kepada golongan remaja berusia 16 dan 17 tahun dan untuk remaja berumur 12 hingga 15 tahun akan selesai dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Saya berharap agar para ibu bapa dan penjaga akan sentiasa peka dengan keperluan anak-anak mendapatkan suntikan vaksin bagi membolehkan kita dan masyarakat dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa dalam norma baharu,” tambahnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda