
RANGKUMAN PERTANDINGAN AKHIR PIDATO KENEGARAAN 2021 | PERINGKAT KEBANGSAAN
Laporan/foto: Zaidy Salim/Tangkap lelayar JaPen (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Seluruh rakyat disarankan untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Mohammad Mentek berkata semangat ini perlu diteruskan supaya semua rakyat kekal taat setia kepada negara tercinta.
“Marilah kita sama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih daripada wabak COVID-19 agar kita dapat kembali meneruskan kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang diadakan secara dalam talian, semalam.
Mohamad turut memuji inisiatif Jabatan Penerangan (JaPen) atas penganjuran pertandingan tersebut yang dilaksanakan dalam dimensi baharu sejajar perkembangan era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) sebagai pencetus serta pemacu kepada kemajuan negara.
“Kaedah berpidato secara konvensional tidak lagi menjadi pendekatan yang menarik perhatian atau berkesan dalam kalangan masyarakat, justeru ia menuntut kesediaan kita untuk mengadaptasi, mengasimilasi dan menyeragamkan perkembangan pesat teknologi tersebut mengikut kepentingan semasa, tambahan pula ketika seluruh dunia dilanda wabak COVID-19.
“Seiring kemajuan teklonogi komunikasi kini, saya ingin mencadangkan agar pertandingan pidato seterusnya nanti dapat membuka peluang kepada peserta-peserta dari luar negara untuk menyertainya dan saya doakan ia dapat direalisasikan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, seorang guru dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dipilih sebagai johan pertandingan ini setelah berjaya memikat perhatian juri dan penonton dengan persembahannya yang bersahaja dan menarik.
Muhd Nazmie Muhd Nasir, 27, dengan tajuk pidato ‘Dasar Perpaduan Negara (DPN) Membangun Identiti Nasional’ berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00 berserta sebuah piala pusingan, plak dan sijil.
Naib Johan disandang, Mohd Amiruddin Md Nor mewakili Negeri Melaka manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ainun Nasibah Johar (Sabah).
-ZS-