
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Kuala Selangor kembali menjadi lokasi di daerah ini khusus remaja bagi program vaksinasi seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.
PPV berkenaan dibuka untuk remaja berusia 16 hingga 17 tahun sejak Isnin lalu hingga Rabu depan secara janji temu di aplikasi Mysejahtera atau hadir secara jumpa terus.
Mereka yang ditemui melahirkan perasaan gembira dan tidak sabar untuk menerima suntikan memandangkan sesi persekolahan yang bakal dibuka serta perlu menghadapi peperiksaan SPM.
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Mohamad Shah Rohaizan, 17, berkata beliau sangat gembira untuk menerima vaksin dan sangat memerlukannya sebelum kembali ke sekolah.
“Saya memang nak ambil vaksin sebab cikgu saya minta saya pergi ambil vaksin di mana-mana tempat vaksin, sebelum datang ke sekolah nanti.
“Tarikh janji temu dos kedua adalah pada 14 Oktober ini dan selepas itu cikgu cakap baharu boleh datang ke sekolah.
“Cucuk vaksin ini hanya sakit sikit saja namun kita akan rasa lega sebab boleh datang ke sekolah untuk fokus belajar sebelum SPM nanti,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (1) ini ketika ditemui di PPV tersebut, di sini baru-baru ini.

Kehadiran orang ramai di sekitar PPV Kuala Selangor yang menjadi tumpuan khususnya remaja untuk program vaksinasi.
Sementara itu, seorang ibu yang ditemui, Siti Fatimah Jaafar, 49, berkata kehadiran pelajar dan ibu bapa di PPV tersebut menunjukkan keprihatinan golongan berkenaan untuk menjayakan program vaksinasi tersebut sebelum kembali ke sekolah.
“Vaksinasi ini amat penting untuk anak-anak kami kerana ia akan memberi perlindungan ketika berada di sekolah nanti.
“Mereka nanti mudah nak datang sekolah sebab mereka dah ada vaksin untuk perlindungan badan mereka.
“Belajar di sekolah lebih baik berbanding di rumah kerana pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran mereka dan guru dapat memberi bimbingan,” katanya.
-RI