
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Selangor sudah mencapai kadar vaksinasi hampir 100% dan menjadi pencapaian yang baik sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Pengurus PPV Stadium Tertutup Kuala Selangor Dr Aimi Nazri Mahat, berkata kadar vaksinasi penduduk di sini telah hampir kepada 100 peratus dan melebihi sasaran bagi imuniti kelompok di daerah ini.
“Bagi penerima dos vaksin pertama sudah selesai dan telah lebih 100 peratus vaksinasi daripada anggaran awal, manakala bagi penerima vaksin dos kedua, lebih 90 peratus vaksinasi sudah selesai.

Kadar vaksinasi penduduk di sini telah hampir kepada 100 peratus dan melebihi sasaran bagi imuniti kelompok di daerah ini – Dr. Aimi.
“Dengan itu, kita di Kuala Selangor sudah capai imuniti kelompok, namun buat masa ini kita tidak lagi fokus pada PPV Kuala Selangor tetapi PPV yang terbuka bagi Lembah Klang kerana banyak PPV lain yang telah ditutup.
“Bagi mana-mana orang di sekitar Lembah Klang yang belum divaksinasi, boleh datang ke sini secara terus untuk melengkapkan proses vaksinasi masing-masing,” katanya sempena program Merdeka@Komuniti Parlimen Kuala Selangor di PPV tersebut, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Dr Aimi, yang juga pegawai epidemiologi daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, berkata PPV Kuala Selangor baru bertukar status daripada PPV awam kepada PPV integrasi, di mana Poliklinik Medi Ihsan mengambil alih tugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor bagi menguruskan PPV ini.
“Semua doktor dan jururawat daripada pejabat kesihatan yang bertugas di bahagian awam PPV sebelum ini, diswastakan kepada Poliklinik Medi Ihsan pada Rabu lepas dengan dibantu wakil pejabat kesihatan dan wakil petugas daripada agensi-agensi yang lain.
“Walaupun bertukar status kepada PPV integrasi, matlamat dan objektif adalah tetap sama bagi memberi vaksinasi kepada penduduk dan petugas kesihatan awam boleh terus fokus kepada kes-kes yang kritikal di hospital,” katanya.
-RI