
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 45 usahawan mikro wanita (MEKAR), golongan kumpulan B40 dan kumpulan komuniti rentan mengikut kursus pengurusan perniagaan secara virtual.
Pengerusi Koperasi Homestay Teluk Ketapang, Md Azmi A. Aziz, selaku penganjur program, berkata program berkenaan dianjurkan bagi memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran usahawan-usahawan kecil berkaitan pengurusan membuat jualan dalam talian.
“Program ini merupakan sebuah bantuan khusus bagi membantu golongan berkenaan membina kehidupan yang lebih baik dengan menyediakan kemahiran dalam membantu mereka menjadi usahawan yang berjaya.
“Kita sentiasa menggalakkan para usahawan kecil ini berdikari dan dalam masa yang sama boleh menjana pendapatan sendiri, meskipun negara masih dibelenggu pandemik COVID-19.
“Selain daripada menyediakan kursus secara dalam talian, koperasi kita juga sedang giat berusaha untuk mendapatkan premis perniagaan bagi para usahawan kecil ini untuk mereka meletakkan produk masing-masing di tempat berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.
Menurut Md Azmi, program berkenaan dianjurkan oleh Koperasi Homestay Teluk Ketapang bersama Mykasih Foundation (Petronas) Kuala Lumpur.
“Matlamat daripada kursus ini adalah bagi memastikan peserta berkeyakinan dalam mengembangkan perniagaan selaras dengan era pendigitalan,” katanya.
Sementara itu, Nurdiana Mat Daud, 32, berkata beliau yang kini menjadi usahawan kecil-kecilan produk kosmetik berkata program tersebut sangat membantu beliau memasarkan produk-produk jualannya.
“Selain mendapat ilmu mengenai pemasaran jualan atas talian, peserta berpeluang mendapat banyak maklumat dan teknik-teknik terbaharu dalam menerokai perkembangan semasa bagi memastikan produk jualan berjaya dipasarkan.

Nurdiana Mat berharap kursus atas talian ini perlu diadakan lebih kerap bagi menambah ilmu pengetahuan usahawan kecil.
“Pihak koperasi juga telah memberikan pelbagai bantuan yang bersesuaian dengan peserta bagi memudahkan urusan dan perniagaan berjalan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, Azizah Mohamad, 47, berkata program seperti ini sangat dinanti-nantikan oleh para peserta.
“Kursus ini dijalankan secara dalam talian dan ia memudahkan kami untuk berkumpul bersama, bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran mengenai pemasaran jualan.
“Saya bersyukur dan berharap agar kursus seperti ini dilaksanakan dengan lebih kerap,” katanya.
-ii-