
Laporan/foto: Bustan Made Aming/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
TUARAN, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Program kolaborasi antara agensi kerajaan memberi gambaran sebenar keperluan masyarakat setempat.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, berkata program seperti Sepakat@Komuniti Daerah Kiulu anjuran bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUPS) yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Zulkapli Mohamed mampu memberi gambaran sebenar keperluan infrastruktur masyarakat di kawasan tersebut untuk diketengahkan.

Joniston (tiga kiri) mengiringi Zulkapli (empat dari kanan) dan anggota JaPen Sabah ketika mengadakan ziarah penduduk di daerah Kiulu.
“Selain menyampaikan sumbangan kepada penduduk, kami berkesempatan melawat empat buah kampung dan melihat sendiri gambaran infrastruktur yang diperlukan penduduk.
“Sebagai contoh, penambahan dan pembaikan jalan desa, keperluan air bersih, keperluan bekalan elektrik ke rumah-rumah serta menaik taraf dewan-dewan terbuka yang kelihatan daif seperti di Dewan Kampung Lokub,” katanya ketika ditemui media di kampung tersebut, di sini semalam.

Joniston (kanan) bersama-sama Zulkapli (kiri) menyerahkan bantuan bakul makanan ketika menziarahi seorang warga emas di Daerah Kiulu.
Pada program itu, sebanyak 100 kotak sumbangan berupa keperluan makanan dan minuman daripada PSUPS dan JaPen Sabah diagihkan kepada penduduk Kampung Tulung Mantob, Kampung Lokub, Kampung Poturidong dan Kampung Nawoi.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah serta Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Hamizi Halim.
-RI