
Laporan/foto: Muhammad Ikhmal Rauff Ghazali (WPKL)
KUALA LUMPUR, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Program Sepakat@Komuniti yang memperkasa peranan komuniti khususnya dalam memastikan kebajikan penduduk setempat terus terpelihara perlu diteruskan pada masa akan datang.
Pengarah Sukarelawan Wilayah Prihatin (PRIVO) Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, berkata program sedemikian secara tidak langsung dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Program dan insentif sebegini harus diteruskan kerana ramai dalam kalangan penduduk setempat ketika ini terus berdepan dengan kesempitan hidup.

Program Sepakat@Komuniti Parlimen Setiawangsa mendapat kerjasama Persatuan Penduduk Seksyen 10 Wangsa Maju.
“Ia juga sebagai tanda keikhlasan daripada pihak kerajaan untuk terus membantu rakyat tanpa mengira bangsa terutama ketika pandemik COVID-19 melalui program berbentuk kebajikan seperti ini,” katanya ketika ditemui pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Setiawangsa di Dewan Serbaguna Persatuan Penduduk Seksyen 10 Wangsa Maju, di sini hari ini.
Pada program tersebut, seramai 20 orang penduduk menerima sumbangan bakul makanan.
Majlis penyerahan turut disempurnakan Penolong Pengarah Cawangan Media Siber Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Tengku Nor Liza Tengku Yahya.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Setiawangsa Yusaini Amir dan Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 10 Wangsa Maju, Setiawangsa Sallehuddin Saidon.
-ZS-