
Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)
KUCHING, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Kelab Rotari Sri Kenyalang (RCSK) antara badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan kepada individu yang kurang bernasib baik dan pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
Bendaharinya Victoria Hwang, 59, berkata ini merupakan kali pertama dirinya terlibat dengan projek membantu individu yang menderita akibat kanser.
“Melalui platform RCSK, kami berjaya mengumpul wang untuk membeli 18 tin susu untuk membantu seorang pesakit yang hanya mampu makan dengan menggunakan tiub.
“Kami merasa gembira dalam melaksanakan projek ini kerana ianya membawa perubahan kepada kehidupan insan lain,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.
Menurut Victoria, Keluarga Malaysia merupakan konsep yang baik dalam menyeimbangkan keharmonian dalam kehidupan ini.
“Alangkah baik sekiranya lebih banyak individu atau organisasi yang berkemampuan membantu orang yang kurang berkemampuan terutamanya golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Pusat Jagaan Rumah Cheshire Phyliss Ode, 42, berpendapat konsep keluarga Malaysia merupakan manifestasi tindakan individu atau NGO membantu meringankan beban golongan yang kurang upaya.

Dr. Ida (kanan) menyerahkan bungkusan makanan kepada Phylis (dua daripada kanan) bertempat di Rumah Cheshire Sarawak, Kuching.
“Malah, orang yang kurang berkemampuan dilihat sebagai ahli keluarga sendiri, maka mereka harus dibantu supaya dapat meneruskan kelangsungan kehidupan.
“Selain daripada itu, selaku keluarga, kita rakyat negeri ini akan sama-sama berganding bahu menuju fasa endemik dan ekonomi serta kehidupan kita akan pulih semula,” katanya.
Terdahulu, RCSK yang diketuai oleh Dr. Ida Badiozaman, 42, selaku Naib Presiden telah menyerahkan bantuan 20 bungkus makanan kepada penghuni yang kurang upaya di pusat jagaan tersebut.
-ZS-