
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/KPJ Johor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 tahun ini lebih bermakna buat sepasang suami isteri apabila puteri sulung mereka selamat dilahirkan semalam.
Rozariah Ramlee, 28, selamat melahirkan bayi perempuan pada 3.10 pagi yang disambut oleh Pakar Perunding Obstetik dan Ginekologi Hospital KPJ Johor Dr Sharifah Shahirah Syed Hashim.
Menurut Mohd Amirul Zulfaqih Ajman, 29, beliau tidak menyangka puteri sulungnya akan lahir pada tanggal 31 Ogos 2021.
“Jika diikutkan isteri saya dianggarkan akan bersalin pada pertengahan bulan September namun bayi seberat 3.17 kilogram itu selamat dilahirkan pada tarikh penuh keramat ini,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ Johor, di sini semalam.
Beliau bersyukur dan teruja kerana proses kelahiran bayinya berjalan lancar dan dalam keadaan yang selamat.

Pihak pengurusan Hospital Pakar KPJ Johor turut menyumbangkan sebuah kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dan cenderahati kepada Rozariah dan Amirul.
“Pada permulaannya saya agak bimbang dengan situasi kesihatan di negara ini berikutan isteri saya hamil pada saat negara masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19.
“Waktu isteri hamil, saya sentiasa mengutamakan kebersihan diri, setiap kali pulang dari kerja atau dari luar saya akan terus membersihkan diri selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Rozariah tidak menyangka dapat melahirkan anaknya pada Hari Kemerdekaan kerana doktor sebelum ini memaklumkan tarikh dia dijangka bersalin adalah pada 18 September.
“Saya berasa bertuah dan gembira kerana dikurniakan bayi merdeka dan kelahirannya pada tanggal 31 Ogos sangat tidak disangka,” katanya.
Amirul merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan terutama di Hospital Pakar KPJ Johor yang sentiasa bersemangat berjuang menjalankan tugas khususnya dalam memerangi wabak COVID-19.
Kedua-dua pasangan tersebut turut menerima sumbangan sebuah kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan dan cenderahati dari pihak pengurusan Hospital Pakar KPJ Johor.
-NI-