Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

RMK12: Dasar Tenaga Negara Komprehensif Diperkenal

By 28 September 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: RTM

PUTRAJAYA, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Dasar Tenaga Negara komprehensif akan diperkenalkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050,” katanya ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat semalam.

Selain instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan, perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022, katanya.

Ismail Sabri berkata penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.

Menurutnya, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu.

Ismail Sabri berkata akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.

Menurutnya, penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.

Beliau berkata model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan, di samping menggalakkan pelaburan hijau termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta syarikat milik kerajaan (GLC), katanya.

Perdana menteri berkata inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan.

Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan dipergiatkan dengan 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan, dan kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV), katanya.

Ismail Sabri berkata pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan, selain inisiatif perolehan hijau diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025,” katanya.

Mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara, beliau berkata mekanisme ecological fiscal transfer akan ditambah baik bagi menyokong usaha memulihara kawasan hutan, manakala santuari hidupan liar yang semakin terancam akan dipertingkatkan bagi tujuan konservasi.

Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkenalkan pelan rangka tindakan ekonomi biru untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin.

Beliau berkata beberapa projek di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta ramalan dan amaran banjir dengan kos sebanyak RM16 bilion akan dilaksanakan bagi tempoh RMK12 dan RMK13.

“Penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda