Skip to main content
Berita TengahMAPerak

Sahut Usaha Kerajaan Mendepani COVID-19 – Zahir

By 11 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)

IPOH, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Usaha kerajaan dalam mendepani pandemik COVID-19 seharusnya disahut dan disokong oleh seluruh masyarakat supaya dapat mencapai hasil yang dibanggakan.

Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak Muhammad Zahir Shah Md Isa, berkata sokongan berterusan terhadap usaha kerajaan perlu diberikan sepenuhnya tanpa berbelah bahagi agar kita sama-sama dapat mencapai kejayaan dalam menghadapi situasi ini.

“Kita takkan boleh lari dari kehidupan norma baharu lalu kita mestilah menurut saranan kerajaan seperti menyokong usaha pengambilan vaksin selain perancangan yang dilakukan kerajaan sentiasa berterusan dan ditambah baik mengikut keadaan,” katanya dalam diskusi khas, Cambah Minda dengan topik Pelan Pemulihan Negara Fasa 2: Negeri Perak, di sini pagi tadi.

Muhammad Zahir turut menambah golongan belia merupakan penggerak atau medium dalam membantu kerajaan dalam berkongsi dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Sebagai wakil belia, mereka juga secara tidak langsung menjadi pemudah cara dalam pelbagai sektor seperti pendidikan dan kesihatan selain menjadi barisan hadapan dalam memastikan program yang dilaksanakan kerajaan berjalan lancar dan mencapai kejayaan demi rakyat Malaysia khususnya,” katanya ketika menjawab soalan moderator, Suriani Ghazali.

Ahli Dewan Belia Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai Muhammad Haiqal Syahid Mohd Hussin, berkata wabak COVID-19 membawa perubahan dan banyak perancangan yang disasarkan menjadi terbatas namun saranan daripada kerajaan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) membawa kita menuju ke tahap yang lebih baik.

“Usaha kerajaan ini dilaksanakan untuk kita capai beberapa matlamat antaranya hidup dalam suasana yang lebih terbuka berbanding ketika awal pandemik ini menular dalam negara.

“Saya percaya seperti mana yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kita harus menerima hakikat untuk hidup dalam situasi endemik dan mengadaptasi kehidupan dalam situasi itu.

“Mungkin banyak perkara akan terjejas dalam tempoh beberapa tahun namun keberhasilan kejayaan PPN pasti dapat dicapai dan apa yang terjejas dahulu seperti sektor ekonomi dan pendidikan tentu dapat di atasi,” katanya.

Berbaki dua siri lagi, program Cambah Minda disiarkan pada setiap hari Sabtu secara penstriman langsung di Facebook Penerangan Perak Page.

~RJ~

Tinggalkan komen anda