
Laporan/ foto: Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu) / Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
Kuala Terengganu- 15 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu menganjurkan Program Merdeka@Komuniti : Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu pada 14 September 2021.
Program dihadiri oleh wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar (ADUN), Khairudin Muhamad yang juga Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (Imits) DUN Bandar dan pada program itu beliau diiringi Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Rusmiza Anuar bagi mengagihkan Jalur Gemilang, risalah terbitan Jabatan Penerangan Malaysia serta cenderamata kepada peniaga, pengunjung dan pengayuh beca di pasar itu.
Khairuldin berkata program ini sangat positif dalam mendidik masyarakat untuk terus mengingati hari bersejarah negara di samping menyemai semangat patriotik dari dalam diri.
“Bahan-bahan penerbitan juga boleh digunakan sebagai rujukan dimana pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam membantu para peniaga.
“Tahniah diucapkan kepada Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu khususnya Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu di atas program yang dilaksanakan pada hari ini dan kita dapat melihat masyarakat khususnya peniaga amat positif dalam menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada hari ini meskipun ia dilaksanakan secara sederhana,” katanya.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia kita perlu mensyukuri nikmat keamanan dan kebebasan yang telah dikecapi selama ini dan bersama-samalah membangunkan negara ini dalam memerangi COVID-19 agar nikmat kesejahteraan dapat dikekalkan.

Pengayuh beca tekun membaca risalah dasar-dasar kerajaan yang diedarkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2021 buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya mengakhiri perbualan.
Pegawai PeneranganDaerah Kuala Terengganu, Rusmiza Anuar, berkata program Merdeka@Komuniti kali ini membawa sedikit kelainan apabila mereka mengenakan pakaian melayu lama sebagai satu cara membawa pengunjung dan peniaga di sini menggamit kenangan zaman nenek moyang sekali gus tidak sesekali melupakan asal usul dan budaya melayu.
-ii-