
PUTRAJAYA, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan program penyenggaraan berterusan tanpa menetapkan tempoh penggunaan peralatan perubatan hospital yang optimum oleh Kementerian Kesihatan (KKM) boleh merugikan kerajaan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2, ini kerana kos penyenggaraan telah melebihi kos perolehan baharu sedangkan peralatan perubatan masih menggunakan teknologi lama dan prestasi peralatan perubatan semakin merosot.
Selain itu, maklumat dari Asset and Services Information System (ASIS) tidak digunakan secara optimum untuk membuat keputusan berhubung permohonan bajet, perancangan perolehan dan penetapan tempoh penyenggaraan.
“Pengauditan yang dilakukan bagi tahun 2016 hingga 31 Disember 2020 menemukan sebanyak 50,452 (19.6 peratus) peralatan perubatan melebihi usia 20 tahun dengan kos RM641.59 juta dan 29,654 (11.5 peratus) peralatan perubatan yang telah berstatus Beyond Economic Repair masih digunakan di hospital.
“Sebanyak 1,373 peralatan perubatan dengan kos perolehan berjumlah RM38.67 juta diberhentikan daripada program penyenggaraan Biomedical Engineering Maintenance Services walaupun belum mencapai usia jangkaan,” demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu turut mendedahkan lapan hospital tidak menggunakan sistem ASIS, lima daripadanya mempunyai sistem penyenggaraan yang lain, manakala baki tiga hospital tidak mempunyai sistem penyenggaraan.
Sehubungan itu, pihak Audit mengesyorkan KKM supaya menyediakan polisi menyeluruh dan komprehensif berkaitan pengurusan peralatan perubatan yang merangkumi polisi perolehan peralatan perubatan baharu, pelan penggantian, penyenggaraan dan pelupusan bagi memastikan pengurusannya dapat dilaksanakan dengan cekap serta memberi nilai tambah kepada kerajaan.
“KKM juga hendaklah mengambil kira kualiti peralatan perubatan yang diperakukan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan harga yang munasabah bagi memastikan ia memberi nilai faedah terbaik terhadap perolehan kerajaan.
“Peranan urus setia perolehan juga perlu ditambah baik dari aspek penyediaan kertas taklimat tender yang lebih komprehensif bagi membolehkan Lembaga Perolehan membuat keputusan yang tepat,” menurut laporan itu.
Selain itu, pihak Audit turut mengesyorkan KKM untuk memastikan semua sistem maklumat pengurusan dan penyenggaraan peralatan perubatan di hospital baharu berintegrasi dengan ASIS.
— BERNAMA