
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu serta beberapa agensi setempat menyantuni petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Negeri Kuala Terengganu dalam Program Sepakat Komuniti baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Tengku Hassan Tengku Omar, hadir menyampaikan sumbangan buah tangan untuk diberikan kepada para petugas dan menyifatkan program yang diadakan ini amat bermakna.

Tengku Hassan (tengah) menyampaikan ucapan semasa Program Sepakat Komuniti di sekitar Pangsapuri Ladang Gemilang.
“Ia sesuatu yang sangat bermakna kerana kita dapat bertemu dan bertanya khabar petugas-petugas di sini sebagai tanda sokongan di atas pengorbanan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang menguruskan pesakit COVID-19,” katanya yang ditemui sempena program di Pangsapuri Ladang Gemilang, di sini kelmarin.
Beliau, turut mengajak semua yang hadir untuk sama-sama menghayati nikmat keamanan dan menghargai petugas barisan hadapan negara dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sebanyak 210 kotak piza untuk diagihkan kepada para petugas dan pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di PKRC Stadium Negeri Terengganu.
“Bersama-samalah kita berdoa agar Malaysia bebas daripada wabak COVID-19 yang melanda negara ini dan seluruh dunia,” tambah beliau.
Program Sepakat Komuniti diteruskan ke Pangsapuri Ladang Gemilang bagi menyantuni penduduk setempat yang turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ladang Flat, Zamrus Omar dan Pengerusi JPKK Ladang Titian, Hidayat Mustafa.
Turut hadir pada penyerahan sumbangan tersebut ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah dan Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu Rusmiza Anuar.
-ii-