
Laporan/foto: Harman Mohammad Khalid/Muhaimin Musa (WPKL)
KUALA LUMPUR, 17 Sep (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 menganjurkan Program Sepakat@Komuniti bagi menggelorakan sambutan Hari Malaysia.
Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 Parlimen Cheras Johanul Ariffin Mohd Khatib, program seumpama ini wajar dilaksanakan bagi menyuntik semangat cintakan tanah air dalam jiwa setiap masyarakat.
“Sambutan Hari Malaysia yang ke-58 ini menunjukkan bahawasanya pandemik COVID-19 tidak menjadi penghalang bagi masyarakat untuk menunjukkan betapa bangganya mereka menjadi anak Malaysia,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di dewan kawasan perumahan itu, di sini semalam.
Pengarah JaPen WPKLP, Lim Ann Teck, berkata dalam program berkenaan turut diadakan upacara penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan kepada penduduk setempat bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

Johanul menyampaikan ucapan pada Program Sepakat@Komuniti di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras.
-ZS-