
Laporan/foto: Wan Muhammad Afiq Wan Mokhtar/Ahmad Suhaimi Mokhtar (WPKL)
KUALA LUMPUR, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Program Sepakat@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) mampu menjadi medium komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cuepacs Vijayakumar Ramalu, berkata penganjuran program sedemikian boleh menjadi satu platform dalam usaha mendekati komuniti dan memahami masalah pada peringkat akar umbi.
“Program ini merupakan salah satu contoh dalam menitikberatkan kebajikan pelbagai kaum sebagai rakyat Malaysia.
“Masyarakat juga harus faham bahawa setiap langkah kerajaan bertumpu dalam menjaga kebajikan rakyat bagi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela demi memastikan persekitaran yang aman dan makmur,” katanya ketika ditemui pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Segambut di Taman Cuepacs, di sini semalam.
Program disempurnakan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Lim Ann Teck.
Pada program tersebut, beliau bersama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Segambut Datuk Daniel Ling Sia Chin, menyerahkan bantuan bakul makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Munusamy Perumal, 58, berkata Program Sepakat@Komuniti juga boleh menjadi platform dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Program ini merupakan salah satu contoh dalam menunjukkan inisiatif kerajaan dalam menyampaikan maklumat berhubung dasar-dasar kerajaan di samping menjaga kebajikan masyarakat setempat,” katanya.
-ZS-