
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/ SWM Environment
JOHOR BAHRU, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Sejak fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikuatkuasakan di negeri ini pada 24 September yang lalu, SWM Environment Sdn. Bhd (SWM Environment) telah bersiap sedia menghadapi janaan sisa pepejal diunjurkan meningkat di kawasan perniagaan dan tumpuan awam.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SWM Environment, langkah ini merupakan kesinambungan daripada perkhidmatan yang beroperasi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini.
“Pihak SWM Environment telah membuat persediaan rapi khususnya melibatkan perkhidmatan pembersihan awam bagi memenuhi keperluan peralihan fasa-fasa pemulihan dengan memastikan kekuatan pekerja di bawah Unit Kebersihan Awam (UKA) dan Unit Pusat Bandar (UPB) mencukupi,” menurut kenyataan tersebut, semalam.
Strategi tersebut dilaksanakan bagi melancarkan operasi kerja sapuan, pembersihan longkang dan pantai serta pemotongan rumput mengikut kekerapan berjadual yang ditetapkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“SWM Environment turut bersedia menumpukan kepada faktor kesihatan dan keselamatan para pekerja yang menjadi tonggak perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.
“Melalui Kempen Jom Kerja Selamat, SWM Environment Negeri kini telah mencapai imuniti kelompok dengan kadar vaksinasi melebihi 90 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja,” kata kenyataan itu.
SWM Environment turut bekerjasama dengan SWCorp dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam memastikan penempatan tong sampah lengkap dengan kutipan sisa pepejal secara berjadual di kawasan awam dan pesisiran pantai mencukupi.
“Orang ramai diseru untuk memanfaatkan kemudahan tong sampah tersebut selari dengan ‘Kempen Buang Sampah ke Dalam Tong Sampah’ dan tidak membuang sampah merata-rata.
“SWM Environment akan terus meningkatkan langkah penjagaan dan pencegahan wabak COVID-19 dalam menghadapi fasa kedua PPN dan peralihan kepada fasa endemik COVID-19 tidak lama lagi melalui pemantauan kesihatan pekerja secara berkala dan pengagihan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi melindungi keselamatan pekerja di lapangan.
“Orang ramai diminta untuk bersama-sama mematuhi SOP norma baharu yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan terutamanya dalam menguruskan sisa berkaitan COVID-19 seperti pelitup muka terpakai dan kit ujian kendiri COVID-19 di kawasan awam bagi mengawal dan memutuskan rantaian jangkitan wabak dalam komuniti sepanjang tempoh PPN tersebut,” kata kenyataan tersebut.
-NI-