
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
SELAMA, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Aktiviti penanaman pokok di Taman Tasik Selama menjadi satu simbolik khas bagi menjiwai Sambutan Hari Malaysia 2021 yang akan tiba tidak lama lagi.
Yang Dipertua Majlis Daerah Selama Nor Akmal Yang Ghazali, berkata Taman Tasik Selama dipilih sebagai lokasi penanaman pokok dan ia merupakan satu simbolik bagi masyarakat setempat di mana seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
“Pokok Rhu dipilih sebagai ikon bagi menandakan bahawa sambutan Hari Malaysia yang akan tiba nanti dan buat julung kalinya Taman Tasik Selama ini dipilih bagi aktiviti penanaman pokok tersebut, ianya turut diberi nama khas iaitu Pokok Merdeka bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021,” katanya ketika ditemui di taman tersebut, di sini hari ini.
Menurut Nor Akmal, sebanyak lima batang anak Pokok Rhu ditanam di sekitar kawasan tersebut bersempena dengan lima prinsip Rukun Negara.
“Pokok Rhu ini dipilih di daerah ini supaya masyarakat yang berkunjung ke Taman Tasik Selama ini dapat menjaga kelestarian alam dan persekitaran agar tidak tercemar dek kerana keganasan manusia yang begitu rakus meneroka muka bumi ini.
“Hal ini bertujuan supaya dapat mendidik orang ramai untuk belajar cinta dan sayangkan alam sekitar kerana kita hanya meminjam semua ini daripada generasi yang akan datang supaya kelestarian alam ini dapat dijaga dengan sebaik mungkin,” katanya.
~RJ~