
Laporan/foto: Norfarhana Mohd Zainal Abidin (Petaling)/Syarul Azis (Putrajaya)
SERDANG, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 hari ini menerima kunjungan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr. Asmayani Khalib.
“Saya amat berterima kasih kepada semua tenaga kerja PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 atas segala usaha dan bakti yang telah dicurahkan dalam sama-sama memerangi pandemik COVID-19 ini.
“Saya berharap agar pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dapat dikongsi bersama rakan-rakan lain agar perkhidmatan kesihatan yang terbaik dapat dikembangkan dengan lebih meluas dan memberi manfaat kepada semua pihak dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19,” kata Asmayani sempena lawatan kerja tersebut yang turut diiringi Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr. Shahabuddin Ibrahim.
Dalam lawatan itu, Asmayani dibawa melawat ke beberapa kawasan di sekitar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 termasuk ruang operasi pentadbiran di Dewan D2, Dewan B yang memulakan konsep hospital bersepadu untuk merawat pesakit yang lebih kritikal, Dewan D1 yang menempatkan pesakit wanita dan kanak-kanak, Dewan A yang menempatkan pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat serta khemah M.A.R.I.A (MAEPS Acute Resuscitation & Isolation Area), sebuah khemah dengan keupayaan tekanan negatif yang bertindak sebagai Unit Rawatan Rapi sementara sebelum pesakit yang telah distabilkan dipindahkan ke hospital lain.

Lawatan dan tinjauan ke salah sebuah dewan yang menempatkan pesakit COVID-19 di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
“Kami memiliki fasiliti Loji Pengisian Oksigen iaitu fasiliti pengisian tangki oksigen yang pertama di Malaysia dan dunia bagi sebuah hospital lapangan yang boleh mengisi sehingga 600 tangki oksigen bersaiz besar dalam sehari sebagai persediaan bekalan oksigen pesakit bagi PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 serta fasiliti kesihatan lain yang terdapat di sekitar Lembah Klang.
“PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 kini menempatkan seramai 2599 pesakit yang terdiri dari 159 pesakit kategori 1, 272 pesakit kategori 2 , 2056 pesakit kategori 3 dan 112 pesakit kategori empat dan pada 8 Ogos yang lalu, fasiliti ini mempunyai bilangan pesakit kategori tersebut tertinggi iaitu seramai 525 pesakit,” katanya.
Asmayani menggantikan Datuk Dr. Norhizan Ismail yang bersara wajib pada 16 Ogos yang lalu.
-RI