
Laporan/foto: Saraspathy Letchumanan/Jaitripta Kaur Gajit Singh (WPKL)
KUALA LUMPUR, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyifatkan pendekatan turun padang bertemu rakyat secara santai merupakan kaedah terbaik untuk mengetahui dan memahami keperluan serta permasalahan yang dihadapi komuniti di satu-satu tempat.
“Saya tengok bahawa program yang boleh saya dapatkan maklumat sebenar adalah melalui program-program santai dan turun secara tidak rasmi untuk berjumpa dengan beberapa kelompok dan persatuan yang akan dilakukan dari semasa ke semasa.
“Saya akan luangkan sekurang-kurangnya kira-kira 80 peratus masa saya dengan mendampingi warga di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan khususnya warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan persatuan penjaja agar tiada yang terkecuali daripada pembelaan kerajaan,” katanya yang ditemui pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Kepong di Kampung Melayu FRIM Kepong, di sini hari ini.
Dalam program tersebut, beliau menyantuni 30 penduduk yang terdiri daripada bekas pesakit COVID-19 dengan menyampaikan sumbangan.
Salah seorang penduduk, Nur-Athirah Md. Nor, 33, berkata program sebegini juga dapat menjadi medium penyaluran maklumat terus kepada komuniti.
“Program seperti ini sangat bagus untuk aktiviti kemasyarakatan dan juga ia dapat merapatkan jurang komunikasi antara pihak kerajaan dan pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam menyalurkan bantuan serta maklumat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan terus di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut melawat empat buah rumah yang ditimpa bencana ribut baru-baru ini selain menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terlibat.
“Sebanyak RM20,000 peruntukan turut diberikan kepada Persatuan Penduduk Kampung Melayu Kepong dan Surau Al-Hidayah bagi kegunaan komuniti setempat.
Turut hadir Pengarah JaPen WPKLP, Lim Ann Teck.
-ZS-