
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Siti Norzila Dolah (Larut Matang dan Selama)
SUNGAI TINGGI, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Pemenang bagi Pertandingan Keceriaan Peringkat Negeri Perak yang mewakili Daerah Larut Matang dan Selama dirai dalam satu program Sepakat Merdeka@Komuniti hari ini.
Pegawai Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama Lizza Imelia M. Sulanah, berkata sambutan bagi meraikan pemenang Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan peringkat Negeri Perak diadakan bagi menghargai penat lelah usaha peserta berkenaan sehingga merangkul gelaran Naib Johan di Peringkat Negeri Perak, anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak.
“Sambutan ini diadakan secara sederhana memandangkan situasi sekarang kita masih lagi tidak dapat berkumpul dek kerana pandemik COVID-19 ini, maka pihak Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama mengambil inisiatif ini untuk meraikan pemenang yang telah mengharumkan nama daerah ini, kerana secara tidak langsung dapat mempromosikan keindahan yang terdapat di bumi Trong ini.
“Saya turut berbangga melihat hasil usaha keras daripada peserta kerana sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit bagi menyertai pertandingan ini dan segala usaha beliau akhirnya berhasil jua dengan mendapat tempat kedua secara keseluruhan,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Sungai Tinggi, di sini hari ini.
Tambahnya, dia amat kagum dan teruja melihat hasil seni serta kreativiti yang telah beliau tonjolkan di Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan peringkat Negeri Perak.
Pemenang tempat kedua Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan, Abu Bakar Osman, 65 berkata dia tidak menyangka bahawa akan terpilih sebagai salah seorang pemenang berikutan terdapat banyak penyertaan yang melibatkan seluruh negeri Perak, namun segala usaha penat lelah dan idea yang dikeluarkan serta kreativiti yang sedia ada telah membuahkan hasil.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Penerangan Negeri Perak kerana telah mengadakan pertandingan sebegini yang mana ianya hanya dianjurkan setahun sekali sahaja namun tanpa sokongan dan dorongan keluarga saya tidak akan berada ditahap ini,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong Jamilah Zakaria.
~RJ~