
Laporan/foto ?: Malini Md Yunos & Nasrul Hamid (Rembau)
REMBAU, 21 Sep 2021 (Malaysiaaktif) – Sempena semarak Hari Malaysia Pejabat Penerangan Daerah Rembau bersama Kawasan Rukun Tetangga Pekan Pedas dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) menganjurkan program Sepakat@Komuniti menyampaikan 15 kotak rezeki ummat dan 80 ekor ayam segar, telur dan roti kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di daerah ini.
Hj Zaifulbhari Hj Idris, Adun Kawasan Chembong mengucapkan tahniah kepada Pejabat Penerangan dan KRT Pekan Pedas kerana membuat satu usaha yang besar impak dan diluar kotak pada hari ini dan menurut beliau lagi dengan mengedarkan ayam, telur dan roti kepada masyarakat ia sesuatu yang sangat bermakna kerana dengan program yang berterusan sebegini membolehkan Jabatan dan NGO yang terlibat untuk mencari peluang bertanya khabar dan membantu mereka yang memerlukan ketika ini.
“Bukan tugas Jabatan Penerangan memberi bantuan yang pelbagai tetapi dalam masa kita sedang berdepan cabaran hebat penyakit pandemik ini mereka menggunakan peluang dengan sedikit peruntukan yang ada membantu mereka yang terkesan dan ini sepatutnya dipuji kerana mereka keluar dari amalan biasa tugas hakiki.
“Sebagai masyarakat yang sepakat dan prihatin kita mesti sama-sama menjaga sesama kita jangan smpai ada jiran, anak, atau keluarga yang tiada makanan di atas meja. Kita ketepikan perbezaan antara kita dan kita bersatu dan bersama-sama memastikan dapat hidup dalam keadaan rukun memastikan kita saling bantu membantu dalam suasan serba cabaran ini” katanya ketika berucap di majlis sepakat komuniti, baru-baru ini.
Beliau turut mengajak semua yang hadir untuk sama-sama menghayati nikmat keamanan dan menghargai petugas barisan hadapan negara dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Bersama-samalah kita berdoa agar Malaysia bebas daripada wabak COVID-19 yang melanda negara ini dan seluruh dunia,” tambah beliau.
Penerima bantuan Devi A/P Ramachandran, berkata beliau mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada pihak berkenaan dengan pemberian bantuan yang diberikan ini.
“Saya rasa bertuah tersenarai sebagai penerima kotak rezeki ummat dalam program hari ini dan berterima kasih kepada Pengerusi KRT Pekan Pedas.
“Pendapatan Saya terjejas semenjak perintah kawalan pergerakan dan dengan pemberian bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan harian saya,” ujarnya ketika ditemui.
-FF