
Laporan/foto: Salina Hasan@Abd Rashid/Hafizul Adzahari (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Pantai Pengkalan Balak mula dibanjiri warga Melaka yang mengambil peluang untuk berkelah dan bersiar-siar setelah Melaka beralih ke fasa dua semalam.
Antara pengunjung yang sempat ditemuramah Salmah Sidek, 42, berkata bahawa beliau merasa seronok kerana dapat keluar dari rumah ke pantai yang telah lama tidak dikunjungi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula 12 Mei 2021.
“Sejak PKP 3.0 dilaksanakan, memang saya hanya duduk di rumah sahaja, setelah pihak kerajaan umumkan Melaka beralih ke fasa dua, terus saya ajak suami datang ke sini, dah lama sangat tak tengok pantai,” ujar beliau yang tinggal di Sungai Udang kelihatan teruja dan memuji keindahan dan kebersihan Pantai Pengkalan Balak, semalam.
Manakala bagi Nurul Ain Fateha, 28, peralihan fasa tersebut sangat dinanti-nantikan oleh semua peniaga termasuk beliau yang merupakan anak kepada pengusaha chalet yang terletak di tepi Pantai Pengkalan Balak.
“Saya sangat teruja dan gembira apabila berita baik ini diumumkan dan hari ini kami mula mengemas dan membersihkan chalet yang dah lama dibiarkan kosong.
“Saya juga berharap agar bakal pelanggan tidak lupa mematuhi SOP dan telah menerima dua dos vaksin COVID-19 sebelum menempah chalet,” katanya apabila ditanya mengenai persiapan untuk menerima pelanggan dalam masa terdekat.
-FF