
Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Hazrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masayarakat (JKM) melalui Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Pilah menyantuni komuniti warga emas dalam Program Ziarah Kasih Malaysia Merdeka di daerah ini.
Menurut Penyelaras Unit Komuniti Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PMKD) Kuala Pilah Zahimi Abdullah, sukarelawan bukan hanya terhad menyelaras keperluan harian penerima bantuan, malah turut membantu dari segi kerja-kerja rumah seperti mengemas, pemberi semangat, tempat rujukan dan sebagainya dalam tempoh penjagaan mereka.
“Seramai 13 orang sukarelawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah terlibat dalam program ini yang mengendalikan 44 orang klien yang terdiri daripada warga emas, sakit, tinggal seorang diri dan sebagainya.
“Bakul Prihatin Negara merupaka inisiatif kerajaan yang tidak pernah berhenti dalam memastikan tanggungjawab terus dipikul untuk membantu rakyat yang terkesan.
“Ia masih boleh dipohon oleh mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan sebanyak 500 bakul makanan sehingga akhir September untuk dimohon atau diedarkan,” ujarnya yang ditemui sempena program ziarah kasih Daerah Kuala Pilah di sekitar kawasan sini, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah Shaharuddin Daud, memberitahu program sebegini dapat mendekatkan Jabatan Penerangan dengan masyarakat terutamanya di pedalaman dan luar bandar agar kesepaduan maklumat dapat disampai secara terus.
“Aktiviti turun padang bersama agensi lain juga membantu dalam membina jaringan komunikasi dan interaksi dengan kumpulan sasar ke arah pemasaran maklumat yang meluas,” katanya.
Salah seorang penerima, Halimah Ahmad, 65, menyatakan kesyukuran atas kehadiran ke rumahnya kerana ianya juga menggamit kenangan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia sebelum pandemik COVID-19 melanda.
“Semoga berdirinya Jalur Gemilang di halaman rumah saya memberi semangat untuk terus menjalani kehidupan ini, dan yang paling penting setiap anak cucu kita perlu faham tentang perpaduan dan elakkan tabiat suka mengadu domba,” katanya.
-FF