
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Siti Norsyuhaida Abdul Razak (Sik)
SIK, 2 Okt (Malaysiaaktif)– Seramai 10 orang pelajar Orang Asli daripada Maahad Dini Sultan Abdul Halim (MDSAH) Belantik menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kemarin.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MDSAH, Siti Norsyuhaida Abdul Razak, berkata 10 pelajar Orang Asli yang terlibat berusia 13 hingga 14 tahun daripada suku Kensiu.
“Urusan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera dilakukan oleh pihak sekolah memandangkan keluarga pelajar kurang mahir selain daripada capaian internet yang rendah.

Para pelajar bersama ibu bapa atau penjaga yang hadir diberikan taklimat sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Kesedaran masyarakat Orang Asli terhadap kepentingan vaksin COVID-19 masih rendah namun begitu mereka menerima baik pemberian vaksin cuma perlu penerangan yang lebih jelas dan terperinci,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Al Hana, di sini kelmarin.
Tambahnya, kunjungan pelajar ke PPV tersebut juga diuruskan oleh pihak sekolah memandangkan kesemua mereka tinggal di Ulu Legong, Baling.
“Pelajar-pelajar tersebut teruja untuk divaksin serta berharap dapat kembali ke sekolah seperti sedia kala,” ujarnya lagi.

Mazadi Alang salah seorang pelajar Orang Asli yang menerima suntikan vaksin COVID-19, di sini kemarin.
MDSAH merupakan sekolah zakat yang dibiayai penuh oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mempunyai seramai 103 orang murid termasuklah pelajar Orang Asli.
~RJ~