Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

10,959 Kes Sembuh, Atasi Kes Baharu

By 11 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatat kes sembuh COVID-19 sebanyak 10,959 kes, mengatasi angka kes baharu berjumlah 7,373.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata daripada 7,373 kes baharu COVID-19 itu, 98.2 peratus atau 7,240 kes adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Sementara 133 kes atau 1.8 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 semalam, dua adalah kes import melibatkan masing-masing satu warganegara dan bukan warganegara, manakala 7,371 adalah kes tempatan membabitkan 6,991 kes atau 94.8 peratus warganegara sementara 380 atau 5.2 peratus bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata 762 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 410 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan dengan lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan.

Kelantan menjadi negeri dengan kluster baharu tertinggi iaitu sebanyak empat kluster komuniti.

Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara semalam ialah 0.86 dengan negeri kadar Rt tertinggi adalah Perlis iaitu 1.10.

Menurut beliau, maklumat terperinci situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web COVIDNOW dengan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda