Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

2.1 Peratus daripada 6,709 Kes Baharu Kategori Tiga, Empat dan Lima

By 12 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Hanya 2.1 peratus atau 144 kes daripada 6,709 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat semalam, melibatkan individu dalam kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 6,565 kes atau 97.9 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 6,703 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 6,454 warganegara dan 249 rakyat asing manakala enam kes adalah kes import membabitkan lima warganegara dan seorang rakyat asing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau berkata sebanyak 10,833 kes sembuh semalam, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,206,502.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 762 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 702 yang disahkan positif COVID-19 manakala 60 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 398 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 298 yang disahkan positif COVID-19 manakala 100 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected, probable) dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan sembilan kluster baharu dikesan dengan empat kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing dua di tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi sementara satu kluster membabitkan pendidikan lain.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.87 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.05.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda