
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/Khairul Shahrizal Ismail (Gombak)
GOMBAK, 10 Okt (Malaysiaaktif ) – Seramai 250 peserta berbasikal menyertai kayuhan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat daerah Gombak di Batu 12, Jalan Gombak di sini hari ini.
Kayuhan santai sejauh tujuh kilometer berakhir di Batu 18 Gombak dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Hilman dalam ucapannya menyeru semua pihak mengamalkan aktiviti bersukan serta beriadah bersama keluarga supaya menjamin kesihatan sehingga dapat meningkatkan produktiviti negara.
“Menjaga kesihatan dan keselamatan diri amat penting selepas tidak dapat beriadah disebabkan penularan pandemik COVID-19.
“Produktiviti rakyat meningkat, ekonomi negara dapat dipulihkan,” katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Selain itu, beliau berkata, krisis ekonomi disebabkan wabak berbahaya itu menyebabkan ramai hilang pendapatan.
“Kerajaan terpaksa menformulasikan usaha memastikan ekonomi berjalan lancar.
“Pembukaan sektor-sektor ekonomi menunjukkan kadar pengangguran menurun daripada 4.8 peratus kepada 4.6 peratus,” jelas beliau.
-RI