Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Aliran Trafik Tol Gombak Normal, Jangka Meningkat Hujung Minggu

By 11 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Aliran trafik menghala Pantai Timur di Plaza Tol Gombak hanya meningkat lebih lima peratus hari ini selepas pengumuman kebenaran rentas negeri, semalam.

Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad Ainul Hasri Shah Abu Hassan, berkata pihaknya menjangkakan peningkatan trafik yang ketara menjelang hujung minggu ini.

“Pada Khamis dan Jumaat dijangka peningkatan trafik melebihi 100 peratus sehingga mencecah 160,000 kenderaan sehari.

“Berbanding ketika larangan rentas negeri tidak lebih 40,000 buah kenderaan sahaja,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, apabila kebenaran rentas negeri dibuka semula, aliran trafik ke Pantai Timur kembali kepada angka asal iaitu 70,000 kenderaan sehari.

Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad, Ainul Shah Abu Hassan.

Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad, Ainul Shah Abu Hassan.

“Hujung minggu ini terdapat cuti umum, pengguna akan mengambil peluang cuti panjang dan dijangka peningkatan mencecah 160,000 kenderaan sehari.

“Malam tadi juga jumlah kenderaan normal, mungkin ramai yang tidak pasti bahawa hari ini diberikan kebenaran rentas negeri,” jelasnya.

Selain itu, Ainul Hasri menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati semasa memandu.

“Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) kami beroperasi seperti biasa dan sila patuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Paling penting mereka telah lengkap divaksin, di samping sentiasa pakai dan pelitup muka, dan imbas MySejahtera.

“Pastikan baki kad ‘Touch n Go’ mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kebenaran rentas negeri di seluruh negara bagi mereka yang lengkap divaksin berkuatkuasa hari ini.

-RI

Tinggalkan komen anda