
Laporan/foto: Idris Sani Saberun (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Asap rokok merupakan antara lima punca utama individu mengidap penyakit kanser.
Menurut penceramah tetap Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) Dr Rizin Kusop, melalui kajian pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) individu yang merokok merupakan antara penyumbang utama kepada kes penyakit kanser paru-paru di negara ini.
“Aktiviti merokok ini selain membahayakan paru-paru perokok, juga boleh menjadi penyebab kepada individu lain yang tidak merokok terutama kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok basi di kawasan persekitaran yang tercemar.
“Bau asap rokok dan habuk nikotin yang melekat pada baju perokok juga boleh menjadi punca risiko mengidap kanser kepada individu lain terutama pada isteri dan anak-anak perokok.
“Selain kanser paru-paru seseorang perokok juga boleh mengidap penyakit kanser telinga, hidung dan tetak (ENT) akibat daripada aktiviti ketagihan tembakau ini,” katanya.

Tangkap layar program bual bicara Influencer@JaPen Sabah yang dikendalikan Kenny Thomas (kiri) secara langsung di laman rasmi Facebook Jabatan Penerangan Sabah.
Dr. Rizin berkata demikian dalam program bual bicara Influencer @JaPen Sabah anjuran bersama PSKS yang disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook Jabatan Penerangan Sabah, Sabtu lalu.
Tambahnya, selain kanser paru-paru dan kanser ENT, kanser lain seperti kanser usus, kanser payudara dan kanser pangkal rahim merupakan antara kanser yang popular dihidap oleh masyarakat di negara ini.
“Di Malaysia penyakit jantung atau kardiovaskular adalah penyebab kematian tertinggi dilaporkan oleh pihak KKM manakala jangkitan kuman dan virus berada di tempat kedua selain faktor kemalangan di tempat ketiga dan penyakit kanser berada di tempat keempat.
“Walaupun penyakit kanser berada di tempat keempat, antara punca utama kepada penyakit ini adalah mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan dan minuman berproses yang mengandungi perisa dan pewarna yang berlebihan, minuman beralkohol, merokok, kegemukan dan jangkitan virus seperti virus hepatitis B, Human Papillomavirus (HPV) dan virus Epstein-Barr (EBV),” katanya.
Menurut Dr. Rizin, penyakit kanser ini boleh dicegah dan dirawat pada peringkat awal dengan membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala terutama kepada individu yang berumur 40 tahun ke atas.
“Pemeriksaan ini penting bagi mengesan penyakit kanser atau penyakit lain pada peringkat awal agar boleh dirawat secara berkesan, selain daripada itu pencegahan kepada sebarang penyakit adalah bermula dengan menyediakan daya tahan badan yang bijak dan sihat.
“Antaranya adalah dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan melakukan aktiviti fizikal seperti seperti riadah berat sekurang-kurangnya 30 minit, tiga kali seminggu mampu membina otot dan stamina bagi mengurangkan risiko mengidap penyakit-penyakit utama di negara ini,” kata Dr Rizin.
Beliau turut menyarankan agar mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan selain memastikan vitamin dan zat galian yang cukup dengan memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayuran.
“Selain daripada itu, pastikan juga badan mendapat rehat dan tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya antara enam hingga lapan jam sehari serta mengawal tekanan emosi secara bijak agar badan mampu menghasilkan hormon yang baik sebagai langkah pencegahan kepada penyakit ini,” tambahnya.
-RI