
PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Bulan Dakwah 2.0 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang bermula semalam hingga 31 Disember depan akan memberi manfaat kepada lebih dua juta golongan sasar.
Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan berkata program tahunan itu bertujuan menjadikan dakwah sebagai budaya dalam masyarakat dan menonjolkan keindahan Islam selain melahirkan pendakwah yang berpengetahuan luas serta berkemahiran tinggi.
“Hasil keberkesanan musim pertama yang berjaya melibatkan lebih sejuta golongan sasar, pihak kami menjangkakan lebih dua juta golongan sasar pada tahun ini.
“Program ini dijalankan serentak di seluruh negara bermula hari ini dan akan melibatkan pelaksanaan lebih 3,000 program,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Dakwah Yadim 2.0 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad di Studio TV AlHijrah di sini malam tadi.
Nasrudin berkata pada tahun ini Yadim juga akan bekerjasama dengan 10 tokoh dakwah terkenal di negara ini dalam program Ikon Yadim.
Antara program yang bakal dilaksanakan sepanjang dua bulan ini adalah Tazkirah 24 Jam Tanpa Henti, Sirah Al Nabawiyah Al Rahiq Maukhtum (sebuah kitab pengkisahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW), Akademi Daie Muda Yadim dan Bengkel Murobbi Rakan Belia Yadim peringkat kebangsaan.
Program lain antaranya adalah Konvensyen Dakwah Negara 2021, Program Motivasi Khas Ujian Penilaian Kelas KAFA, Kursus Fundamentals & Basics Of Interfaith (FBI), program bersama penghuni penjara, kembara dakwah, menyantuni golongan rentan dan program kesukarelawanan bersama golongan selebriti.
— BERNAMA