Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

DASS Kesan Tahap Kesihatan Mental Secara Atas Talian

By 8 Oktober 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor)/JaPen 

JOHOR BAHRU, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Ujian Saringan Kesihatan Mental (DASS) merupakan pemeriksaan saringan awal yang boleh mengesan sama ada individu itu mengalami tekanan, kebimbangan atau kemurungan.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri, masalah kesihatan mental adalah satu keadaan di mana seseorang itu mengalami ganguan emosi atau perasaan yang mengganggu fungsi seharian.

“Contohnya, apabila isteri bergaduh dengan suami di rumah dan hadir ke pejabat dalam keadaan yang monyok, itu adalah salah satu contoh gangguan emosi dan perasaan.

“Ujian Saringan Kesihatan Mental boleh mengukur emosi berdasarkan tiga perkara utama iaitu kemurungan, kegelisahan dan tahap tekanan seseorang.

“Ujian ini boleh dilakukan sendiri dengan menjawab soal selidik atas talian yang disediakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor iaitu QRDASS dan setiap pesakit akan mendapat slip keputusan serta saranan seterusnya berdasarkan keputusan yang diperolehi,” katanya dalam sesi bual bicara Influencer@JaPen Johor secara maya di Facebook Jabatan Penerangan Negeri Johor, semalam.

Tambah beliau, jika dahulu jabatan kesihatan akan membuat ujian secara manual di mana pesakit perlu datang untuk mengisi borang dan menjalani ujian namun sejak negara dilanda pandemik COVID-19 penyampaian perkhidmatan kesihatan dan saringan minda sihat dilakukan secara atas talian dengan menyediakan pautan dan kod QR khas.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Ow Yeang Khang Ting menyampaikan cenderahati kepada Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri selepas selesai sesi Influencer@Japen Johor, semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Ow Yeang Khang Ting menyampaikan cenderahati kepada Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri selepas selesai sesi Influencer@JaPen Johor, semalam.

“Apabila individu membuat ujian saringan ini, maka mereka akan mendapat keputusan secara terus.

“Keputusan pula diketegorikan mengikut tiga warna iaitu putih, kuning dan merah,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, warna putih menandakan seseorang individu itu berada dalam keadaan sihat dan stabil berdasarkan dua minggu yang lepas.

“Warna kuning pula menandakan tahap kesihatan mental ringan dan sederhana manakala warna merah menandakan tahap individu itu perlu diberikan perhatian atau rawatan.

“Pada peringkat ini individu tersebut akan diberi pilihan sama ada terus diberi talian untuk membuat janji temu untuk penilaian lanjut atau jika beliau malu untuk bersemuka maka pegawai bertauliah atau kaunselor akan membuat penilaian melalui panggilan telefon,” jelasnya.

Beliau menasihati mana-mana individu yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kesihatan mental boleh layari telegram Minda Sihat Johor kerana di medium tersebut terdapat pelbagai maklumat sokongan emosi dan teknik yang akan diberikan kepada para pesakit bagi mengatasi masalah tersebut.

-NI-

Tinggalkan komen anda