Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

DataKITA MDEC Memperkasa Ekonomi Digital dalam Era Baharu Dunia

By 2 Oktober 2021Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Kemajuan pantas dalam pengadaptasian digital telah menjadi kejutan kepada komuniti perniagaan dengan data kini menjadi komoditi berharga yang membuka banyak peluang berikutan munculnya pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan mesin pembelajaran.

Menurut laporan International Data Corporation (IDC), jumlah data yang dijana pada tahun lalu sahaja dianggarkan sebanyak 64.2 zettabait (satu zettabait: satu trilion gigabait).

“Dengan pelbagai maklumat baharu dijana setiap saat, data boleh dianggap sebagai ‘oksigen’ bagi ekonomi digital yang perlu dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama serta inovasi nilai dalam menjadi sumber pertumbuhan baharu.

“Perniagaan yang menggunakan data cenderung untuk lebih tangkas dan berinovatif khususnya dalam waktu-waktu sukar seperti sekarang.

“Kami perhatikan perniagaan tersebut berkembang maju kerana berlandaskan model perniagaan kreatif berbanding perniagaan lain yang menghadapi kesukaran untuk bertahan serta bangkit semula,” kata Aiza Azreen Ahmad, Ketua Pegawai Perniagaan Digital di Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Beliau berkata, di peringkat nasional, keputusan yang dipacu oleh data memberi manfaat kepada negara secara keseluruhannya, sama ada daripada segi ekonomi atau dalam pengurusan wabak COVID-19.

Sebagai respons terhadap evolusi digital ketika ini, MDEC, selaku peneraju ekonomi digital negara telah memperkenalkan inisiatif DataKITA untuk mempersiapkan ekosistem digital dalam era baharu dunia yang menggunakan data, terutamanya bagi memacu teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

DataKITA yang dilancarkan pada November 2020, telah menyaksikan MDEC bekerjasama dengan industri untuk memberi dorongan kepada perniagaan bagi memulakan perjalanan transformasi data mereka menerusi pendekatan yang lebih tersusun serta memanfaatkan asas data, analitik data, tadbir urus, perkongsian data dan AI.

Diasaskan dengan tujuan untuk meningkatkan ketersediaan, kebolehcapaian dan kegunaan data dalam kalangan rakyat Malaysia, DataKITA dipacu empat teras strategik:

Pengetahuan(Knowledge): Mempromosikan Literasi Data
Infrastruktur (Infrastructure): Memupuk Persekitaran Berteraskan Data
Bakat (Talent): Memupuk Pembangunan Profesional Data
Tindakan (Action): Memecut Penerapan Berteraskan Data dan AI di Kalangan Perniagaan.

Keempat-empat teras berkenaan memastikan penerima manfaat inisiatif ini akan menjadi pemangkin ekosistem data yang berkembang pesat.

Bermatlamat untuk merangsang perubahan minda sambil mendorong perkongsian ilmu dalam adaptasi teknologi, DataKITA menjadi aspirasi kepada Malaysia dalam memperkukuhkan usaha untuk memenuhi standard 4IR dan juga perubahan pantas teknologi kejutan yang telah terbukti mengubah landskap ekonomi global secara eksponen, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan dasar 4IR.

Sebagai tambahan, DataKITA mempersiapkan Malaysia untuk memanfaatkan ekonomi digital bernilai tinggi yang dijangkakan mencapai nilai AS$1.9 bilion menjelang 2025 berbanding AS$1.1 bilion pada 2021.

Dengan mengawal masa depan data, Malaysia akan menjunjung kedaulatan digital negara dan menerajui ekonomi digital yang inovatif, selaras dengan misi MDEC iaitu mengintegrasikan masyarakat secara digital yang dipacu oleh ekonomi digital yang mapan dan inklusif.

Pandemik COVID-19 telah menunjukkan dengan jelas bagaimana pemahaman dan asas data dapat menyelamatkan nyawa dan membolehkan perniagaan terus beroperasi, justeru itu, MDEC berusaha untuk mempersiapkan perintis tempatan dengan rujukan digital yang sesuai untuk terus bertahan dalam norma baharu.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif DataKITA, MDEC akan menganjurkan acara maya Minggu AI dan Data (AIDW) 2021 selama seminggu bermula dari 25 Oktober 2021, yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam hab digital serantau bagi data, AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

Matlamat AIDW 2021 adalah untuk membantu memangkinkan pemikiran, integrasi dan adaptasi data, AI dan IoT dalam kalangan peserta menerusi pelbagai acara yang akan dianjurkan sepanjang minggu berkenaan.

Acara maya berkenaan mengalu-alukan kehadiran penggiat industri, komuniti data dan pemula teknologi untuk melakukan libat urus dengan entiti kerajaan, syarikat besar dan rakyat.

Acara utama yang berlangsung pada 26 Oktober akan menampilkan tetamu yang pakar dan berpengalaman dalam AI dan data seperti Nikolai Dobberstein (Rakan Kongsi dan Ketua Asia Pasifik, Komunikasi, Media, dan Teknologi, Kearney), Carl Ward (Amazon Web Services) dan Laurence Liew (AI Singapore).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai DataKITA, boleh layari laman web mdec.my.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda