
Laporan/foto: Hamidah Len (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Hampir 50 tan sampah sarap dikutip oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sepanjang Pantai Tanjung Lipat baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK Leong Tze Fui, berkata seramai 23 orang pekerja pembersihan ditugaskan untuk mengutip sampah sepanjang empat kilometer bermula Muara Pantai Nelayan hingga ke Pantai Teluk Awam 1.
“Pekerja pembersihan memulakan tugas seawal 7 pagi sehingga 4 petang dengan jumlah kutipan purata harian tiga atau empat tan.
“Tinjauan mendapati sisa domestik terutamanya bahan plastik banyak terdampar di kawasan pantai apatah lagi selepas hujan lebat atau air pasang, serpihan-serpihan daun dan ranting kayu juga banyak kelihatan memenuhi kawasan pantai,” katanya ketika sempena pembukaan semula Taman Awam Teluk Likas, di sini baru-baru ini.
Menurut Leong, selain itu terdapat juga sampah tertimbus dalam pasir dan terpaksa dikorek untuk dikeluarkan selain timbunan sampah sepanjang pantai antara jambatan Likas dengan kawasan Pantai Satu.
“Apabila keadaan menjadi kritikal, pembersihan sampah terpaksa dilakukan menggunakan jengkaut dengan kutipan sehingga 1,180 guni sampah dalam tempoh sehari.
“Sampah yang dikutip akan dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang dan sebagai rekod kami pernah menghantar sebanyak 15 lori sampah dengan kapasiti 4 hingga 6 tan setiap satu,” ujarnya.
Leong berharap masyarakat yang datang ke kawasan pusat riadah tersebut dan juga yang tinggal di penempatan perkampungan air dapat menjaga kebersihan alam sekitar dan tidak membuang sisa plastik kerana ia mengambil masa hingga beratus tahun untuk terurai.
-RI