
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU- 5 Okt (Malaysiaaktif)– Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu baharu di sini.
Hamzah berkata Kompleks IPK Terengganu yang bernilai RM104 juta itu akan menggantikan kompleks IPK Terengganu yang masih digunakan sejak 84 tahun lalu.
“Pembinaan IPK Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun ini diharap akan memberi keselesaan kepada warga kerja PDRM Terengganu.
“Apa yang lebih penting bagi saya dengan keselesaan yang bakal dikecapi ini mampu memberi tumpuan terbaik dalam usaha peningkatan prestasi kerja untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini khususnya jumlah penduduknya lebih kurang 1.3 juta orang,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah IPK tersebut, di sini semalam.
Menurut Hamzah, statistik jenayah di negeri ini merupakan yang terendah dalam negara dan pencapaian ini merupakan satu bentuk kolaborasi yang erat antara polis dan masyarakat.
“Selari dengan slogan ‘’Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dan kejayaan ini mampu melonjakkan keyakinan rakyat kepada institusi keselamatan kita malah Polis Kontinjen Terengganu ini boleh menjadi contoh terbaik kepada kontijen-kontijen lain dalam mengangkat martabat bidang kepolisian negara.
“Bangunan setinggi sembilan tingkat didirikan di atas tanah seluas 5.05 ekar ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
Hamzah berkata, asas pembangunan pembinaan IPK ini merangkumi bangunan pentadbiran setinggi sembilan tingkat yang akan menempatkan sepuluh buah jabatan, bilik pejabat, bilik mesyuarat, dewan serbaguna, auditorium dengan kapasiti 300 orang, kantin, taska dan sebagainya.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokthar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
-ii-