Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Individu Tiada Sivik Rosakkan Projek Pengindahan – MPS

By 5 Oktober 2021Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS

SELAYANG, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) amat kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang merosakkan Projek Pengindahan Kawasan Khas Sampah Longgok di Taman Daya Kepong, di sini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad, berkata lokasi berkenaan asalnya merupakan tapak pembuangan sampah pukal tidak terkawal.

“Inisiatif diambil dengan melaksanakan projek tersebut menggunakan tayar-tayar terbuang dijadikan landskap kejur di kawasan berkenaan.

“Namun, selepas seminggu kawasan tersebut kembali kepada asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha kelestarian dan pengindahan yang dijalankan menjadi sia-sia apabila individu tidak bertanggungjawab telah membuang sampah di kawasan tersebut.

“MPS amat kesal dengan tindakan individu tiada kesedaran sivik serta tidak menghargai inisiatif MPS bagi mewujudkan persekitaran bersih dan indah.

“MPS telah membuat pembersihan di kawasan tersebut hari ini,” katanya.

Tambahnya, MPS berharap perkara tersebut tidak berulang dan orang ramai juga disarankan melaporkan perbuatan pembuangan sampah longgok di kawasan awam.

-RI

Tinggalkan komen anda