
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah melaksanakan program hebahan bagi memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran kepada penduduk di Kampung Orang Asli Langkap.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah Shaharuddin Daud@Abu Hassan, hebahan tersebut dibuat bagi membantu memberi maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan seiring dalam menangani kes COVID-19 yang menular dalam komuniti penduduk di situ.
“Antara kandungan hebahan yang disebarkan ialah mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin dan pemakaian gelang kuarantin sepenuhnya.
“Kaedah ini membolehkan maklumat sampai terus kepada golongan sasaran serta meningkatkan keberkesanan pematuhan kepada SOP yang diharapkan agar penduduk di Kampung Langkap mematuhi arahan kuarantin yang diberikan dan pada yang tidak dikuarantin dinasihatkan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.
“Penduduk juga diingatkan agar tidak melanggar arahan kuarantin atau cuba memotong gelang kuarantin yang boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras peruntukan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah Mohd. Faizal Abdul Manap, berkata saringan kontak rapat telah dijalankan pada 4 dan 5 Oktober lalu.
“Hasil saringan mendapati 20 orang positif, empat orang negatif manakala 15 orang lagi belum diketahui keputusan ujian saringan daripada keseluruhan 39 individu yang disaring yang melibatkan tujuh keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan pada 26 September lalu.
“Di samping itu, empat individu yang negatif dan 15 individu yang disaring telah dipakaikan gelang dan dikuarantin di rumah masing-masing selama 10 hari,” katanya.
Menurut Faizal, bagi memastikan tiada penduduk yang dikuarantin cuba keluar dari kawasan tersebut, satu pos pemeriksaan telah diadakan di pintu keluar masuk yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Tidak ketinggalan juga bantuan makanan turut diedarkan kepada penduduk yang dikuarantin oleh pihak Kesihatan Daerah hasil sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Pilah,” katanya.
-FF