
Laporan/foto: Eviannie Kin (Kota Kinabalu)
BELURAN, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Daerah Beluran mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan hubungan rakan strategik menerusi jalinan kerjasama pelbagai pihak untuk memberikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Rafael Lindan, berkata keperluan untuk mewujudkan kerjasama strategik amat diharapkan kerana ini merupakan tindakan yang efektif untuk mendekati komuniti yang menghadapi masalah secara terus.
“Program seumpama ini merupakan usaha yang murni kerana kita dapat bertemu secara bersemuka dan kita dapat mendalami keadaan sebenar yang dialami oleh mereka yang ditimpa bencana,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana Roslan Lihim yang kehilangan harta benda akibat bencana kebakaran di Kampung (Kg.) Kolapis Pasir, di sini semalam.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Beluran Melanie Marcellina J. Kinjawan, berkata program tersebut dijayakan bersama-sama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Labuk, Pejabat Daerah Beluran dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg. Kolapis Pasir.
“JaPen komited menjadi perantara kepada komuniti bagi memperkukuhkan rakan strategik melalui jalinan kerjasama antara agensi, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), atau swasta untuk memberikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.
“Pelaksanaan program ini bertujuan memberikan sokongan mental dan emosi kepada mangsa dan keluarga dan selain itu usaha ini juga merupakan insiatif JaPen untuk menyelami keperitan dan trauma yang dialami oleh mangsa,” katanya.
-RI