Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Pupuk Semangat Bersatu Hati Penduduk Kampung Satay

By 7 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional Negeri melaksanakan Kempen Jalur Gemilang bagi memupuk semangat cintakan tanah air dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi penduduk di Kampung Satay di sini.

Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Satay Razali Salim, penganjuran kempen seumpama ini merupakan antara medium terbaik dalam menaikkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan penduduk di sini serta memupuk semangat bersatu hati ketika proses menyiapkan projek ini.

“Pelbagai usaha dilakukan agar semangat cintakan negara terus tersemat dalam kalangan masyarakat dan ini termasuk kempen mengibarkan Jalur Gemilang, panji yang melambangkan kedaulatan negara dan identiti bangsa.

Teyanmoly Chelliah, 56, menunjukkan hasil kolum yang telah direka bentuk mengikut tema Hari Kebangsaan yang ke-64 tahun.

Teyanmoly Chelliah, 56, menunjukkan hasil kolum yang bertemakan kenegaraan.

“Dengan kewujudan jawatankuasa-jawatankuasa di bawah KRT yang meliputi penglibatan dari segenap lapisan masyarakat seperti Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Usia Emas dan Tunas Jiran secara tidak langsung telah berjaya menyedarkan para penduduk kampung ini tentang kepentingan penyatuan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

“Menerusi kempen ini juga kita boleh membentuk dan mencorakkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat terhadap negara tercinta,” katanya ketika ditemui pada Program Kempen Kibaran Jalur Gemilang KRT Kampung Satay, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, kerjasama dan semangat bergotong-royong bagi menyiapkan projek ini membuktikan kesepakatan yang telah terbina dalam kalangan penduduk di kampung ini.

“Para penduduk menggunakan bahan-bahan kitar semula bagi membina replika bertemakan kenegaraan yang menghiasi sepanjang laluan di kampung ini.

Noraida Mohamad, 45, Penolong Pegawai Perpaduan(kanan) "Berharap seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Daerah Batu Pahat dapat menanam semangat patriotik dalam diri supaya rasa cintakan negara kita sendiri.

“Saya berharap masyarakat dapat menanam semangat patriotik dalam diri mereka bagi mengukuhkan rasa cinta pada negara,” – Penolong Pegawai Perpaduan Noraida Mohamad

“Wakil rakyat dan para pemimpin masyarakat juga turut memberikan sumbangan bagi menjayakan kempen ini selain daripada masyarakat di dalam kawasan KRT Kampung Satay,” ujarnya.

Razali memaklumkan, Kampung Satay yang telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi peringkat daerah turut dicalonkan untuk bertanding di peringkat  negeri.

“Kami berharap dapat memenangi pertandingan ini di peringkat negeri dan seterusnya menjadi ikon serta pembakar semangat kepada semua KRT yang ada di dalam daerah ini.

“Saya berharap penganjuran program-program seumpama ini dapat diteruskan bagi meningkatkan rasa  cintakan tanah air dalam kalangan warga yang semakin pudar,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda