Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MTQJK Jadi Platform Pendidikan dan Penerapan Nilai-nilai Islam

By 23 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: JAKIM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) akan menjadi platform pendidikan dan penerapan nilai-nilai Islam yang ampuh dalam melahirkan generasi yang mencintai, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata umat Islam dapat menikmati sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera, bersatu-padu, hormat-menghormati serta saling bertolak-ansur apabila menghayati nilai-nilai al-Quran.

“Umat Islam perlu kembali berpegang kepada ajaran al-Quran. Al-Quran yang diturunkan bukan setakat mengandungi ajaran mengenai akidah dan akhlak semata-mata, tetapi juga menjadi suluhan dalam lapangan kehidupan dan sumber tamadun yang syumul,” katanya.

Berucap pada majlis perasmian MTQJK yang diadakan secara maya semalam, Idris berkata majlis tilawah al-Quran itu mengajak umat Islam agar sentiasa menekuni dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran dan ia merupakan sebahagian daripada perancangan untuk memperkukuhkan penghayatan pendidikan umat Islam.

MTQJK yang diadakan selama lima hari bermula semalam menampilkan seramai 26 qari dan qariah johan tilawah kebangsaan dan jemputan khas yang mewakili semua negeri, yang akan mempersembahkan bacaan al-Quran secara bertaranum.

MTQJK yang julung kali diadakan itu adalah sebagai alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2021M yang ditangguhkan berikutan situasi pandemik COVID-19.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Ismail (Jakim) itu disiarkan secara langsung di TV1 pada 22, 24 dan 25 Oktober, manakala di TV OKEY pada 23 dan 26 Oktober bermula 9 malam hingga 10.30 malam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda