
Laporan/foto: Siti Fairuz Ngatenan (Sarawak)
KUCHING, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Peratus kelulusan graduan pada Konvokesyen Virtual Kolej Komuniti Kuching (KKKg) ialah sebanyak 100 peratus dan merupakan pencapaian yang amat membanggakan.
Menurut Pengarah KKKg Suharyati Sulaiman, Kolej Komuniti sebagai sebuah institusi kemahiran sentiasa menerapkan pembudayaan keusahawanan kepada pelajar melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
“Pihak kolej mewujudkan inkubator keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan tujuan membentuk jatidiri pelajar yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seiring dengan kecemerlangan akademik.

Suharyati (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Awang Yusup (tengah) sebagai tanda kenang-kenangan.
“Oleh kerana itu, kita mewujudkan dua anugerah dalam majlis konvokesyen kali ini iaitu Anugerah Kecemerlangan Pengarah dan Augerah Keusahawanan bagi mengiktiraf dan menghargai pelajar-pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam aspek akademik, sahsiah dan juga penglibatan dalam keusahawanan,” katanya yang ditemui sempena Majlis Konvokesyen Virtual Kolej Komuniti Kuching (KKKg), di sini semalam.
Suharyati memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan berjaya mencapai sebanyak 100% dalam tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2019.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 62.3% graduan telah melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah manakala 37.7% graduan telah mendapat pekerjaan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa graduan Kolej Komuniti sentiasa mendapat permintaan dalam pasaran pekerjaan serta industri terutama dalam bidang kemahiran dan program yang ditawarkan turut menepati kehendak pasaran semasa,” katanya.
Majlis yang dilaksanakan secara virtual menyaksikan kejayaan seramai 145 orang graduan yang menamatkan pengajian dalam bidang Sijil Teknologi Senibina (STS), Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) Sijil Pelancongan dan Pengembaraan (SPL) dan Sijil Asas Jahitan Kreatif (KJK) di mana seramai 66 orang graduan SFP, 50 orang graduan STS, 25 orang graduan SPL dan 4 orang KJK telah menerima sijil masing-masing.
-ZS-