Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Pemimpin Komuniti Pemangkin Usaha Suburkan Sikap Patriotisme

By 1 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Para pemimpin peringkat komuniti yang berbilang kaum boleh menjadi pemangkin dan contoh ikutan dalam usaha menyuburkan sikap patriotisme dalam kalangan masyarakat pada peringkat akar umbi.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, pemimpin di peringkat komuniti perlu menganggap ahli-ahli komuniti di bawah mereka seperti anak-anak mereka sendiri.

“Anak adalah seperti kain putih, para pemimpinlah yang patut mencorakkannya kerana peribahasa ada menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Supian (tengah) menerima cenderahati daripada Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Abd Aziz Mohd Salleh.

Supian (tengah) menerima cenderahati daripada Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Abd Aziz Mohd Salleh.

“Selain menyokong usaha agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, para pemimpin di peringkat komuniti perlu menganjurkan dan menggalakkan penglibatan ahli-ahli komuniti dengan sebarang aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan untuk menanamkan sikap patriotisma tersebut di dalam hati mereka.

“Dengan itu masyarakat di kawasan kita akan menjadi masyarakat yang mampu mencontohi pemimpin-pemimpin mereka untuk menjadi bangsa yang berjaya,” katanya semasa berucap pada Program Merdeka@Komuniti: Apresiasi Merdeka anjuran bersama Jabatan Penerangan Labuan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Labuan dan Persatuan Penggiat Media Labuan, semalam.

Media massa juga katanya bertanggungjawab dalam menggiatkan kempen dengan menyebarkan berita dan informasi tentang pentingnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Bashir (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama para pengamal media tempatan.

“Pada zaman moden kini, mata masyarakat lebih tertumpu ke medium komunikasi atau teknologi media baharu, oleh itu, para pengamal media perlu mengambil langkah bijak dan berkesan bagi menyuburkan sifat patriotisma dalam diri para penonton, pendengar dan pembaca.

“Dengan perkataan lain, pengamal media melalui medium masing-masing hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara,” jelasnya.

Tambahnya, siaran dan perkongsian bahan-bahan seperti itu bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Pada majlis itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa yang akan bertukar ke Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

-RI

Tinggalkan komen anda