
Laporan/foto: Mohd Hizami Mohd Hanip (Petaling)
BUKIT LANJAN, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Kelonggaran aktiviti bersukan dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi kelegaan golongan belia orang asli Desa Temuan, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Desa Temuan Mohd Nizar Mohd Shahbi, berkata kelonggaran tersebut banyak memberi manfaat setelah hampir dua tahun penduduk tidak bebas bersukan.

Mohd Nizar menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh kerajaan untuk golongan belia kembali aktif bersukan.
“Golongan belia kami dapat mempertingkatkan kemahiran dan menyertai sebarang pertandingan seperti kejohanan bola sepak anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.
Seorang belia yang ditemui, Hairi Alias, 32, berkata aktif bersukan boleh menghasilkan pendapatan sekiranya memenangi pertandingan yang disertai.
“Kami banyak menyertai pasukan bola sepak secara profesional di peringkat daerah mahupun negeri yang menjadi sumber pendapatan mereka,” katanya.
Mereka berkata demikian ketika ditemui selepas menerima peralatan sukan pada Program Sepakat@Komuniti Desa Temuan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Petaling, baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Petaling Chandran Periasamy, menyambut baik kesungguhan belia Desa Temuan untuk aktif dalam bidang sukan.
“Semangat bersukan penduduk Desa Temuan sangat tinggi dan mampu melahirkan ramai ahli sukan yang berkaliber suatu hari nanti,” katanya.
-RI