Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Peranan Pemimpin Masyarakat Terhadap Golongan Orang Kurang Upaya

By 4 Oktober 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Bengkel Latihan kepada Pelatih (TOT) mampu melahirkan pemimpin yang berinformasi dalam menyampaikan agenda inklusiviti melalui platform instrumentasi mengenai komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sri Medan Zulkurnain Kamisan, penganjuran program seumpama ini dapat mengupas sejauh mana peranan kita sebagai masyarakat prihatin dalam melunaskan tanggungjawab kepada komuniti yang sedia ada dan kesedaran terhadap golongan yang berbeza keupayaan dalam menjalani kehidupan seharian.

“Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan sama seperti insan-insan yang lain.

“Kita tidak boleh menidakkan peluang mereka untuk mendapat nilai hak kemanusiaan seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan mereka hidup berdikari,” katanya semasa merasmikan Program MyCekap Masyarakat bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Daerah Batu Pahat secara telesidang, di sini hari ini.

Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan sama seperti insan-insan lain - ADUN Kawasan Sri Medan Zulkurnain Kamisan

Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan sama seperti insan-insan lain – Zulkurnain Kamisan.

Tambah beliau, bagi memperkasa golongan OKU ia tidak hanya tertumpu kepada aspek kebajikan semata-mata malah haruslah melibatkan hak asasi manusia seperti pendidikan berkualiti, pekerjaan yang bersesuaian, kesihatan yang terjamin dan juga persekitaran yang sihat.

“Sokongan kita sebagai masyarakat penyayang pasti akan dapat membantu golongan ini untuk terus mengejar impian mereka.

“Pemberian bantuan kewangan semata-mata sebenarnya tidak mampu untuk membantu mereka dalam tempoh jangka masa yang panjang, sebaliknya bimbingan berterusan adalah sangat berkesan dalam meningkatkan semangat berdikari bagi golongan istimewa ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat mengenai hak golongan OKU juga perlu dipertingkatkan yang mana mentaliti segelintir masyarakat perlu diubah agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan yang disediakan untuk golongan ini serta melanggar hak asasi mereka.

“Segelintir daripada kita tidak segan silu mengambil hak mereka dengan menggunakan kemudahan yang disediakan buat golongan istimewa ini contohnya, menggunakan tempat letak kereta yang dikhususkan kepada mereka.

Ketua Cawangan Komunikasi Pengehakupayaan OKU Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia Dr Ruziah Ghazali

Ketua Cawangan Komunikasi Pengehakupayaan OKU Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia Dr Ruziah Ghazali.

“Saya amat berharap agar masyarakat dapat bertindak wajar dengan menghormati insan lain tanpa sebarang prasangka dan prejudis,” katanya.

Penghulu Mukim Sri Medan Mohd Azmim Zober, berkata golongan OKU tidak perlu dipinggirkan kerana mereka juga merupakan antara penyumbang dalam ekonomi negara, walaupun mereka tidak seperti insan lain namun mereka juga mempunyai kelebihan yang kadangkala tidak ada dalam diri manusia biasa.

“Dalam Zon Sri Medan sahaja sebanyak 20 orang golongan OKU yang dikenal pasti dan berdaftar dengan Persatuan OKU Batu Pahat berumur di antara 26 tahun hingga 67 tahun.

“Selepas ini kita akan mempergiatkan lagi pengumpulan maklumat-maklumat golongan ini untuk kebaikan dan kebajikan mereka,” tambahnya.

Mohd Azmim memaklumkan sebagai pemimpin masyarakat, sedikit sebanyak program hari ini mampu memberi input yang positif untuk beliau lebih prihatin terhadap golongan ini terutamanya dari segi hak mereka dalam masyarakat.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Psikologi dan Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Mohd Hafiz Halim dan Ketua Cawangan Pengehakupayaan OKU Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia Dr Ruziah Ghazali.

-NI-

Tinggalkan komen anda